Formula Bisnes Negara China
Judul : Formula Bisnes Negara China
Penulis : Ann Wan Seng
Penerbit : PTS Professional Publishing Sdn. Bhd.Tebal : 151 mukasurat
ISBN : 978-983-3585-94-6
Saya sangat teruja untuk membaca buku “Formula Bisnes Negara China” ini setelah membaca tulisan Ann Wan Seng yang bertajuk “Rahsia Bisnes Orang Cina”. Tambahan pula pada kulit belakang buku ini ada sinopsis berkenaan isi kandungannya yang antara lain mengatakan bahawa buku ini mengandungi formula bagaimana negara China bangkit setelah terlalu lama sengsara dengan peperangan, pertelagahan pemerintah dan krisis politiknya.
Namun demikian, setelah selesai membaca buku ini dari kulit ke kulit, saya berasa kecewa kerana saya keliru dengan isi kandungannya sama ada apa yang diperkatakan dalam buku ini adalah inisiatif yang telah diambil oleh China untuk bangkit atau sekadar pendapat dan cadangan penulis atau campuran kedua-duanya.
Buku ini dimulakan dengan memberi serba sedikit gambaran sejarah negeri China bermula dari era Laksamana Cheng Ho, pemerintahan Manchu kemudian pemajakan Hong Kong kepada British dan Macau kepada Portugis sehinggalah pemerintahan Parti Kuomintang dan akhirnya pemerintahan komunis.
Kisah sejarah kegemilangan China sebagai hub perdagangan kerana memiliki laluan sutera (jalan darat) dan laluan lada (jalan laut) turut dipaparkan.
Saya hanya dapat mengenal pasti satu formula yang kuat yang menjadi faktor utama yang menjadikan ekonomi China berkembang pesat sehingga mampu untuk bersaing dengan negara kuasa besar seperti Amerika Syarikat dan Eropah. Faktor yang saya maksudkan adalah dengan mengubah dasar ekonominya daripada ‘tutup pintu’ kepada ‘buka pintu’.
Pemimpin China sedar sekiranya mereka terus bersikap anti-Barat mereka akan dipinggirkan oleh dunia. Natijahnya, rakyat China akan menanggung kerugian kerana kerajaan sudah tidak mampu untuk menampung kehidupan sejumlah 1.3 billion rakyatnya dengan hanya bergantung kepada sektor pertanian adalah mustahil untuk mereka menangani kemiskinan dan ditambah pula dengan masalah pengangguran yang kian meningkat.
Justeru itu, langkah pertama yang diambil oleh China adalah dengan membuat penstrukturan semula kerajaan dengan cara diam-diam menyingkirkan pemimpin yang konservatif dan menggantikan tempat mereka dengan pemimpin generasi baru yang berfikiran terbuka dan moderat.
Setelah penstrukturan semula pemerintahan dibuat, China seterusnya meminda dasar ekonominya untuk menggalakkan para pelabur asing membuat pelaburan terutama dalam bidang perindustrian. China bukan sahaja mengharapkan peluang pekerjaan yang terbuka luas kepada penduduknya tetapi China juga mengharapkan pemindahan teknologi dan kepintaran agar selepas satu jangka masa mereka tidak lagi mengharapkan orang Barat semata-mata.
Pada pendapat saya, apa yang diperkatakan oleh penulis selebihnya hanyalah pandangan beliau dan bukanlah tindakan yang telah atau yang sedang diambil oleh China untuk meletakkan dirinya setanding dengan kuasa besar ekonomi yang lain.
Saya tidak pasti kenapa penulis perlu menyampaikan sesuatu yang penting dengan cara membuat karangan berjela-jela dan kerap mengulang sesuatu perkara. Adalah menarik sekiranya kandungan buku ini disusun bermula dari sejarah China, faktor kejatuhan China dan seterusnya kebangkitan China serta menyenaraikan langkah-langkah yang telah diambil oleh China untuk berada pada kedudukan kini.
Selepas itu, barulah penulis mengutarakan pandangan beliau dengan menyatakan apakah lagi formula yang perlu diambil oleh China untuk mengukuhkan sekaligus melonjakkan tahap ekonominya jauh lebih baik daripada yang sebelumnya.
Perlu dinyatakan juga apakah faktor-faktor lain yang menghalang kemaraan China dan apakah cadangan penulis agar China dapat mengatasi halangan-halangan yang ada.
Penulis ada menyentuh tentang halangan-halangan dalam buku ini tetapi saya kurang jelas tentang maksud yang ingin beliau sampaikan kerana tidak tentu hujung pangkalnya. Saya hanya melihat kecelaruan penulis untuk menyampaikan persoalan penting dengan cara yang membosankan.
Saya amat berharap tulisan ini boleh diperbaiki agar pembaca dapat menangkap mesej yang hendak disampaikan dengan jelas. Perlu diingat kepuasan pembaca perlu dititik beratkan kerana pembaca inginkan sesuatu yang berbaloi dengan duit yang telah dilaburkan untuk membeli buku. Oleh itu, bukan sahaja penulis bahkan penerbit juga harus peka tentang perkara ini. Cuba elakkan untuk menghasilkan bahan bacaan yang kebudak-budakkan dan kelihatan seperti melepas batuk ditangga.
Maaf, saya kecewa dengan buku ini.