
Judul : Begawan
Penulis : Arena Wati
Penerbit : Dewan Bahasa dan Pustaka
ISBN : 983-62-4909-5
Tahun : 1996
Sememangnya hasil karya Arena Wati adalah antara penulisan yang saya gemari. Ini adalah kerana penulisannya bukan sekadar untuk mengisi masa lapang tetapi lebih kepada menjana pemikiran agar lebih kreatif dan berfikir di luar kotak (think out of the box). Di samping itu, penulisannya juga memerlukan kita untuk lebih berpandangan jauh dan lebih kritis.
Begawan, walau pun ditulis dan dicetak lebih satu abad yang lalu, namun masih relevan pada masa kini. Sebabnya, apa yang diceritakan dalam Begawan merupakan satu kisah yang pernah, sedang dan kemungkinan akan berlaku selagi manusia tidak pupus.
Begawan adalah satu pengkisahan sebuah Kerajaan di bawah kepimpinan Salabu turun-temurun. Bermula dengan mengusahakan ladang kelapa, menjual daging monyet, membuka ladang kuda dengan menjual baka kuda termasuklah kencing kuda, perusahaan Salabu mampu untuk menempa nama di arena antarabangsa. Dengan menghargai sumber alam yang digabungkan dengan kepakaran ahli keluarga Salabuyang dalam pelbagai bidang membolehkan Salabu menceburkan diri dalam perusahaan menternak dan membiak gamat dan pelbagai hasil laut. Hasil laut ini digunakan bukan sahaja dalam bidang perubatan malahan juga dalam bidang kosmetik dengan jenama tempatan iaitu Juwita, mengambil nama anak saudara Salabu.
Namun demikian, sebagai manusia, Salabu juga mempunyai kekurangan dan kelemahan. Kekayaan dan kemasyhuran yang ada tidak mampu untuk memberikan ketenangan kepada Salabu yang sentiasa dibayangi dosa silamnya. Pada peringkat akhir usianya, Salabu masih tidak mendapat kemaafan daripada suami Jora atas kesalahannya menodai Jora seminggu sebelum Jora dan suaminya menikah. Rahsia ini disimpan kemas oleh Salabu tetapi dapat diketahui oleh orang kampung dan adik-beradiknya hanya dengan melihat Johari anak Jora yang mirip wajah Salabu.