Hendak Ulam Pucuk Menjulai



Tajuk Buku : Hendak Ulam Pucuk Menjulai Sebuah Autobiografi
Penulis : Sokme Samdin
Penerbit : Dewan Bahasa dan Pustaka
Pengulas : Junaidah Ahmad Ghazali

Menelusuri autobiografi Sokme Samdin, Hendak Ulam Pucuk Menjulai Sebuah Autobiografi, anda pasti sukar untuk memberhentikan pembacaan kerana penulisannya yang lancar dan mengasyikkan boleh menyebabkan anda ralit membacanya. Buku ini memaparkan pengalaman suka duka pengarang dalam mengharungi kehidupan dan kerjayanya sebagai pendidik.

Sokme yang sejak kecil menanam cita-cita untuk menjadi guru, semakin teruja diterima melanjutkan pelajaran di Convent of Holy Infant Jesus Secondary School, Melaka. Bagi Sokme, peluangnya semakin luas dan semakin dekat untuk mencapai cita-citanya. Semangatnya semakin menyala apabila melihat saban tahun seniornya terbang ke United Kingdom untuk melanjutkan pengajian dalam bidang perguruan di sana.

Pengarang yang amat meminati mata pelajaran Bahasa Inggeris memasang angan-angan untuk menjadi pelajar Kirby atau Brinsford Lodge, United Kingdom. Namun demikian, nasib kurang menyebelahinya ketika itu. Sungguhpun memperoleh keputusan yang memuaskan bagi peperiksaan Lower Certificate of Education (LCE), Sokme tidak dapat meneruskan pengajian kerana beliau bertemu jodoh dengan inspektor polis.

Pada usia muda, beliau melayari kehidupan berumah tangga. Walaupun agak kecewa dengan impian yangtidak kesampaian, Sokme tidak mengaku kalah. Setelah memperoleh anak sulungnya, beliau mengikuti kelas malam sehingga lulus peperiksaan Senior Certificate (SC) dan General Certificate of Education (GSE).

Dengan sokongan suami tercinta, Sokme mengikuti kelas malam bagi menduduki peperiksaan Higher School Education (HSC). Namun begitu, semangatnya untuk terus belajar menjadi luntur apabila badannya terlalu lemah kerana mengandungkan anaknya yang kedua. Selepas itu, beliau seolah-olah melupakan terus impiannya untuk menjadi pendidik dan menumpukan sepenuh perhatiannya sebagai suri rumah sehingga mempunyai lima orang anak.

Tiada sesiapa yang dapat menduga, ketika berusia 33 tahun dan semasa bahagia melayari bahtera rumah tangga bersama suami dan lima orang cahaya mata, Sokme mendapat tawaran menjadi guru sementara. Sejak itu, bermula episode kehidupannya sebagai pendidik anak bangsa.

Dengan kegigihan, semangat, komitmen dan keikhlasan sebagai pendidik, tuah sentiasa menyebelahinya sehingga beliau terpilih sebagai guru contoh.Ekoran daripada itu, satu demi satu peluang diterima oleh Sokme. Beliau sendiri tidakmenyangka Tuhan memberikan ruang dan peluang yang mudah serta rezeki yang murah kepadanya sehingga beliau dilantik sebagai guru besar.

Pengalaman Sokme yang hanya bercita-cita untuk menjadi guru, tetapi akhirnya berjaya menjadi guru besar, amat berharga untuk dikongsi oleh pembaca. Selain itu, kesungguhan dan kegigihan Sokme dalam menggapai cita-citanya, dapat dijadikan motivasi oleh semua golongan, terutamanya pelajar dan pendidik. Semangat yang kental tanpa mengenal erti putus asa serta diiringi usaha dan doa, pasti akan membuahkan hasilnya. Yang pasti, Hendak Ulam Pucuk Menjulai, bukan hanya sebuah autobiografi, tetapi dapat diteladani dalam meningkatkan motivasi diri.

Sumber : Dewan Siswa Oktober 2008