Monday 10 November 2008

Kasih Bonda - Kampung Paya Kami



Tajuk Buku : Kasih Bonda - Kampung Paya Kami
Penulis : Siti Zainon Ismail
Penerbit : Dewan Bahasa dan Pustaka
Pengulas : H. Ardy

Saat kita melalui zaman serba canggih ini, berapa ramai orang yang suka mengimbau kenangan silam hidup mereka di kampung yang kental dengan unsur tradisinya? Berapa ramai pula yang sanggup mempertahankannya daripada dikambus oleh pemodenan atas nama kemajuan?

Mungkin itu mesej yang ingin disampaikan oleh Siti Zainon Ismail melalui kumpulan puisi sketsa Kasih Bonda: Kampung Paya Kami. Kumpulan puisi in lahir mungkin untuk mendepani usaha Dewan Bandaraya Kuala Lumpur yang memperkenalkan Draf Bandar Raya Kuala Lumpur 2020 yang dicanangkan akan menghapuskan kampung tradisi di pinggir Bandar.

Kumpulan puisi ini terbahagi kepada lima bahagian: Keluarga Kami (Bahagian 1), Halaman Sekolah (Bahagian 2), Kehidupan Kampung (Bahagian 3), Mari Bermain (Bahagian 4), dan Perayaan (Bahagian 5). Keseluruhannya memaparkan 47 buah puisi. Pengenalan kumpulan puisi ini dinukilkan oleh Sasterawan Negara A. Samad Said.

Siti Zainon memulakan kumpulan puisinya dengan “Sungai Gombak, Kasih Bonda”. Penyair menggambarkan Sungai Gombak pada tahun 1950-an yang masih terpelihara, dengan jambatan gantung yang merentanginya dan ikan teberau yang melompat-lompat ria. Di gigi airnya para ibu membasuh kain manakala anak-anak kecil berlompatan mandi. Peri kasih Siti Zainon kepada Sungai Gombak digambarkan pada bait ini: di situ darahku mengalir/o kasih bonda/kala bidan Diyeh membersihkan uri/pertama kali aku mandi suci/mensyukuri limpah kasih ibunda kami.

Puisi lain di Bahagian 1 banyak mengungkapkan diri penyair dan keluarga. Antaranya puisi “Rumah Kami” yang dimulai dengan kehadiran Siti ke dunia. Penyair juga menukilkan puisi yang menceritakan si ibu berusaha keras mencari rezeki, si ayah yang suka bertukang, dan almari hias nenek yang dikelilingi pelbagai perkakas.

Bahagian 2 memuatkan puisi tentang alam persekolahan Siti. Selain mengaut ilmu dunia, Siti tidak mengabaikan ilmu akhirat. Jika paginya di sekolah, petangnya pula di surau. Hal ini digambarkannya melalui puisi “Surau Tinggi Kami”. Selain itu, terdapat puisi tentang Bulan Bahasa Kebangsaan, hari peperiksaan dan hari ibu bapa.

Budaya hidup berkampung penuh tradisi digambarkan pada Bahagian 3. Siti Zainon membariskan puisi tentang tradisi meraut lidi, mengail ikan, membakar lemang dan mendulang bijih. Agak menarik kerana penyair menggambarkan masyarakat kampung pelbagai kaum yang hidup dalam harmoni. Antaranya puisi “Aya Kacang Putih”, “Apek Kelentong”, “Mamak Rojak” dan “Orang Arab Jual Kitab”.

Bahagian 4 memuatkan puisi tentang permainan dan persembahan tradisi yang diamalkan di Kampung Paya seperti bermain congkak, panggung bangsawan, dan opera Cina. Bahagian 5 pula sarat dengan puisi yang mengisahkan adat tradisi dan suasana perayaan orang Melayu. Antaranya “Bakar Kuih Baulu”, “Sembelih Ayam”, “Setelah Takbir Raya”, “Penanggah”, dan “Silat Pengantin”.

Menghayati kumpulan puisi ini menyebabkan kita terkenang sesuatu yang kita sudah kehilangan pada hari ini. Penyair menggunakan ungkapan yang mudah dan tidak terlalu puitis. Mungkin penyair ingin menyampaikan mesej terus kepada khalayak, khususnya pihak berkuasa tempatan supaya berfikir panjang sebelum bertindak.

Sumber : Dewan Sastera Oktober 2008