Lagukan Senandung Itu



Judul : Lagukan Senandung Itu
Penulis : Serunai Faqir
Penerbit : Dewan Bahasa dan Pustaka
Tebal : 311 mukasurat
ISBN : 978-983-62-9609-2

Agak lama untuk saya menghabiskan buku ini. Mungkin kerana kesibukan saya di tempat kerja atau mungkin juga perjalanan cerita Lagukan Senandung Itu yang agak lembab membuatkan saya seolah-oleh kehilangan daya penggerak untuk terus membaca karya ini.

Saya amat bersetuju dengan tema novel ini yang tanpa ragu memperjuangkan seni warisan Melayu yang semakin kehilangan pewarisnya. Waris yang betul-betul menghayati dan menjiwai seni pergendangan Melayu, daripada proses membuat gendang dengan memilih kayu yang sesuai untuk dibuat gendang sehinggalah memainkan irama gendang yang mempunyai rohnya yang tersendiri dengan penuh rasa kecintaan.

Memang saya mendapat semua itu daripada pembacaan Lagukan Senandung Itu. Namun, apa yang saya rasakan kurang adalah penceritaan yang agak tidak menyuntik kecintaan saya untuk terus membaca kerana pada pertengahan novel ini penceritaan seolah-olah jauh daripada maksud asal dan membawa pembaca lari daripada persoalan asal.

Lagukan Senandung Itu mengisahkan seorang wanita bernama Fatimah yang mewarisi seni pergendangan daripada ayahnya. Beliau yang semasa kecil lagi menunjukkan minat yang mendalam untuk bermain gendang dan serunai bukan sahaja mampu bermain dengan baik tetapi juga menjadikan gendang sebagai satu peluang perniagaan bagi tujuan menempatkan seni warisan ini gah bukan sahaja di dalam negara bahkan juga di arena antarabangsa.

Pelbagai dugaan dan cabaran dihadapi oleh Fatimah dalam menempa kejayaan. Paling getir apabila beliau difitnah menggunakan varnis alkohol dalam proses membuat gendang yang beliau bekalkan. Tambah sadis lagi fitnah ini mampu membuatkan pihak Kementerian untuk tidak memilih syarikat beliau iaitu Warisan Bertuah Enterprise sebagai pembekal gendang dalam tender yang baharu sahaja ditutup dan sedang dalam proses pemilihan.

Begitulah lumrah Melayu berniaga, tidak senang untuk melihat orang lain senang. Peniaga Melayu yang berfikiran sempit sering mengambil jalan pintas untuk menjatuhkan pesaing dengan menabur fitnah malahan ada yang sanggup bersekongkol dengan syaitan untuk melakukan perbuatan sihir. Inilah yang menimpa keluarga Fatimah. Atuknya yang dulu merupakan pemain kumpulan gendang Di Raja telah difitnah malahan disantau dek perbuatan dengki melihat kejayaannya.

Kritikan Sastera Melayu: Antara Cerita Dengan Ilmu



Judul : Kritikan Sastera Melayu : Antara Cerita dengan Ilmu
Pengarang : Ungku Maimunah Mohd. Tahir
Terbitan : Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia
Halaman : 81
Tahun : 2007
Harga : RM15.00
Pengulas : Muhammad Ikhram Fadhly Hussin

Kritikan Sastera Melayu : Antara Cerita dengan Ilmu menjadi petunjuk kepada pengkritikan sastera lama dan baharu tanah air dalam menelusuri dan menghakimi karya sastera. Buku yang dibentangkan bersempena “Syarahan Perdana Professor” di Universiti Kebangsaan Malaysia pada 30 November 2007 yang lalu begitu bermakna terhadap dunia kritikan sastera Melayu yang dilihat semakin sepi.

Relatifnya, pengarang berjaya menajamkan mata, membuka telinga dan mencambahkan minda para sarjana tanah air dan peminat sastera serta para pengikut perkembangan teori dan kritikan sastera menerusi kajian terbaharunya ini. Pengarang mendedahkan kemandulan pemikiran pengkritik sastera yang menerima bulat-bulat kerangka dari Barat sebagai alat untuk menjana karya sastera tempatan. Pengarang turut menyatakan ketidakpuasan hatinya apabila pengkritik sastera tempatan masih lagi memfokuskan penelitian tentang cerita, dan mengetepikan aspek ilmu sebagai ukuran utama.

Menurut pengarang, Islam dan barat merupakan faktor utama yang mempengaruhi kegiatan penulisan di rantau ini. Faktor keduanya, tradisi persuratan Melayu-Islam begitu jelas menjadikan ilmu sebagai tonggak “pekerjaan kalam”, sedangkan unsur ilmu atau didaktik tidak pula diperuntukkan kedudukan yang sama dalam tradisi Barat. Berdasarkan kajian dan penelitiannya, pengarang mendakwa bahawa karya kreatif Melayu lebih sendeng kepada tradisi sastera Barat, sama ada dari segi konseptual mahupun praktiknya.

Dunia kritikan tanah air yang telah mencapai usia yang mapan sepatutnya mempunyai landasan yang jelas, iaitu ilmu sebagai ukuran utama. Oleh hal yang demikian, pendekatan Persuratan Baru yang digarap oleh Mohd. Affandi Hassan dilihat begitu tepat dalam mengisi ruang kosong tersebut. Polemik Persuratan Baru sudah lama menimbulkan kekecohan setiap kali perbincangan mahupun perdebatan mengenainya. Kerangka kritikan karya ini telah “menjamah” dan “memamah lumat-lumat” karya oleh nama-nama besar sasterawan tanah air sebelum menolaknya untuk dilabelkan sebagai karya besar, yakni yang berilmu.