Tajuk : Perkahwinan Adat di Negeri Sembilan
Penulis : Norhalim Haji Ibrahim
Penerbit : Lembaga Muzium Negeri Sembilan
Tebal : 313
Pengulas : Idros Samsudin
Perkahwinan merupakan amalan yang sangat-sangat dituntut oleh agama. Terdapat du aspek utama dalam sesuatu majlis perkahwinan, iaitu keagamaan dan kebudayaan. Pelaksanaan aspek keagamaan hampir sama dalam kalangan masyarakat yang menganut kepercayaan yang sama. Manakala aspek kebudayaan pula merupakan bahagian yang merealisasikan adat istiadat masyarakat yang melaksanakannya.
Buku ini membincangkan perkahwinan adat perpatih yang diamalkan di Negeri Sembilan. Perlu diketahui bahawa istiadat perkahwinan yang dijalankan oleh pengamal adat perpatih jelas berbeza antara satu negeri dengan negeri yang lain.
Setiap peraturan dan adat istiadat perkahwinan dalam adat perpatih menampakkan peribadi masyarakatnya. Dalam masyarakat yang mengamalkan masyarakat yang mengamalkan sistem bersuku ini terdapat nilai muafakat dalam melakukan sesuatu perkara. Perkara ini merupakan sendi utama dalam membuat sesuatu keputusan, merangkumi penentuan tarikh perkahwinan dan pembahagian tugas.
Tegasnya, adat perpatih adalah sangat fleksibel dalam aspek tertentu, terutama yang berkaitan dengan kemanusiaan. Dalam upacara perkahwinan, sanak-saudara pengantin, sama ada jauh atau dekat akan menghulurkan bantuan berupa kebendaan mahupun tenaga. Di samping itu, konsep bermuafakat dan kebulatan ini juga telah mewujudkan nilai dan sifat kerjasama, gotong-royong, tolong-menolong dan bantu-membantu antara pengamal adat perpatih.
Konsep muafakat dan kebulatan telah dijadikan peraturan harian yangharus dilakukan dan dipatuhi anggota masyarakat ini. Setiap anggota bertanggungjawab atas kejayaan keseluruhan majlis atau apa jua upacara lain yang dijalankan. Kejayaan sesuatu majlis, bukannya kejayaan individu atau sekumpulan orang tertentu tetapi adalah kejayaan keseluruhan kelompok kekeluargaan. Fenomena tersebut jelas tergambar dalam upacara perkahwinan di Negeri Sembilan.







