Wednesday, 19 November 2008

Merindui Alam



Tajuk : Merindui Alam
Penulis : Ihsan Noorzali
Penerbit : Dewan Bahasa dan Pustaka
Pengulas : Ani Hamzan

Amat jelas yang menjadi sasaran penulis dalam buku kumpulan puisi terbaharunya, Merindui Alam adalah "keindahan". laitu keindahan "perkataan”, keindahan "kisah" dan keindahan "mesej" yang sememangnya amat dititik beratkan dalam erti "keindahan" sebuah karya sastera.

Beliau menjauhi pemilihan kata-kata yang klise, sebaliknya setiap kata yang dipilihnya telah disaring dengan teliti bagi memberikan makna yang mendalam dan berkesan, malah setiap kata pilihannya kaya dengan unsur perlambangan. laitu perlambangan yang mampu memesrai pembaca dengan fitrah kehidupan dan kejadian melalui unsur alam yang disulami dengan kebesaran Allah sebagai pemilik alam ini.

Dalam sajak "Merindui Alam" yang menjadi judul buku kumpulan puisi ini, mempunyai "keindahan mesej", yang menilai tentang makna kebesaran Allah. Pengarang menyimpulkan dalam sajaknya bahawa, "Tuhanku, segala di jumantara-Mu/siang dan malam/tersirat makna. Pengarang menggunakan perlambangan "bulan" dan "matahari". Pengarang men­catatkan, "Aku rindu padamu bulan/dengan cahaya balik tabirmu/mengundang kecantikan/ kurindu jua padamu matahari/meski wajah kemarahanmu/ membakar hidupku/hingga kukehilangan arah/per­jalanan mencari syahdu.

Begitu juga dalam sajak "Percakapan" yang mempunyai "keindahan mesej" di sebalik "keindahan perkataan" yang disaring oleh penulis. Pengarang memberikan pesanan dalam percakapan, "usah meletakkan istana/atau menara tinggi atas bibirmu hingga hilang daya menghitung/kemelut di atas ­bumi kerana/menara itu nanti menghempapmu jua Sebaliknya, pengarang menasihatkan melalui bait sajaknya ini, "Binalah pondok sederhana atas/bibirmu agar sering basah/mengucapkan apa-apa kerana/ semuanya seperti pondok itu.

Melalui sajak juga, seorang penyair juga dapat mengabadikan "keindahan kisah" yang dilaluinya, Umpamanya dalam sajak "Seorang Isteri dan Segelas Susu" yang merakamkan kisah kebahagiaan hidup dalam rumah tangga yang isteri menjadi penyerinya isteri yang menyerahkan kesetiaan dan kepatuhan kepada suami tercintanya. Sajak ini ditulis berdasarkan kisah yang diceritakan oleh teman tentang keistimewaan isterinya. Hingga penyair merumuskan "sesungguhnya/isterinya itu menghadiahkan/warna indah syahdu/kepada yang bernama/pelukis masa depan/dirinya.

Demikianlah bagaimana unsur "keindahan" sastera menjadi tunjang kepada 124 buah sajak Ihsan Noorzali atau nama sebenarnya Ghazali Din yang berasal darl Kampung Tengah, Kuala Kedah. Beliau yang pernah bertugas sebagai Pembantu Penguasa Kastam di Jabatan Kastam Diraja Malaysia pada tahun 1981 hingga 2005, kini bertugas sebagai Pegawai Penerbitan, di Unit Perhubungan Awam di Universiti Pendidikan Sultan Idris, (UPSI). Kumpulan puisi Ihsan Noorzali ini benar-benar memaparkan kematangan dalam gaya persembahan penulisan sajak yang diceburinya sejak tahun 1980-an hingga kini.

Sumber : Dewan Sastera November 2008

Tuesday, 18 November 2008

Meniti Batas



Tajuk : Meniti Batas
Penulis : Zulkifli Khair
Penerbit : Dewan Bahasa dan Pustaka
Pengulas : Hassan Alias

Kerajaan sentiasa berusaha memperkenalkan hasil industri kampung seperti seni kraf dan makanan ke pasaran antarabangsa. Hasilnya, masyarakat antarabangsa sudah mengenali beberapa produk negara kita. Antaranya termasuklah makanan ringan seperti kerepek pisang atau ubi. Jika sebelum ini kita terbiasa dengan kerepek kentang yang dipek dalam bekas yang cantik, kini kita sudah dapat membeli kerepek ubi atau pisang di dalam bekas yang tidak kurang cantiknya.

Inilah inti pati novel Meniti Batas nukilan Zulkifli Khair yang terhasil melalui Bengkel Perolehan Judul yang diusahakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka dengan kerjasama KEPEZI. Sazali, iaitu watak utama novel ini sanggup meninggalkan jawatan tetap kerana ingin mengusahakan perusahaan kerepek ubi. Dia memulakan perniagaannya di pasar malam. Digambarkan Sazali mewarisi sifat ayahnya yang saggup menempuh dugaan dunia perniagaan.

Sazali dilukiskan berperwatakan baik dan patuh kepada suruhan Allah. Dia tidak mudah melenting walupun diperli kerana menjual kerepek, sebaliknya berkobar-kobar ingin membuktikan bahawa dia boleh berjaya. Dia tidak patah semangat walaupun ditipu oleh Saat yang tidak membayar hutang kerepek.

Sazali mengikuti beberapa kursus untuk memantapkan pengetahuan dan kemampuannya dalam perusahaannya. Dia patuh kepada pesanan bapanya bahawa tiada satu perkara pun di dunia ini yang mampu dilakukan dengan cemerlang dan gemilang tanpa bersandarkan ilmu. Dalam salah satu kursus, dia bertemu dengan sahabatnya, Yusuf, salah seorang penceramah.

Monday, 17 November 2008

Lelaki Tua dan Sebuah Kerusi



Tajuk Buku : Lelaki Tua dan Sebuah Kerusi
Penulis : Saifullizan Yahaya
Penerbit : Dewan Bahasa dan Pustaka
Pengulas : H. Ardy

Pengarang merupakan antara karyawan muda yang prolifik dan menonjol dalam persada kesusasteraan tanah air pada hari ini. Menang dalam pelbagai sayembara penulisan membuktikan kemampuannya berkarya. Antologi cerpen ini menampung 20 buah cerpen pengarang yang terhasil sepanjang sedekad. Pengarang menyentuh pelbagai isu dan sisi kehidupan yang berlaku di hadapan mata kita atau yang tidak kita sedari. Antaranya isu kekeluargaan, sosial, budaya, politik, pendidikan, sejarah dan agama.

Cerpen "Lelaki Tua dan Kerusi" merupakan simbolik manusia yang suka menyalahgunakan kelebihan yang dimiliki. Kisahnya berkisar tentang penduduk sebuah kampung yang berupaya menukarkan barangan kepada barangan lain mengikut kesukaan mereka. Antaranya boleh menukarkan batu menjadi emas.

Pengarang dilihat menyenangi dunia persekolahan apabila menghasilkan dua buah cerpen yang menyentuh tentangnya. Cerpen "Amat" menceritakan seorang perajar yang selalu disalah anggap oleh guru lantaran kemiskinannya. Segalanya terbongkar setelah peristiwa tragis menimpa rumah Amat. Cerpen "Cikgu Rizal" pula cuba mengkritik tindakan sesetengah pentadbiran sekolah yang mudah mengambil tindakan buang sekolah tanpa menyiasat punca sebenar.

Pengarang turut memberikan tumpuan kepada bencana yang menimpa rakyat Palestin. Beliau meng­garap dua buah cerpen yang berkaitan dengannya, iaitu "Bertemu Drakula" dan "Intifada”. Cerpen "Bertemu Drakula" merupakan satira tentang Ariel Sharon, sang penyembelih Palestin yang sangat kejam. Cerpen ini padat dengan fakta sejarah. Cerpen kedua menggunakan latar bumi Palestin dan menggambarkan kegigihan rakyatnya memperjuangkan kebebasan.

Friday, 14 November 2008

Pemikiran Hamka



Tajuk Buku : Pemikiran Hamka
Penulis : Sidek Baba
Penerbit : Dewan Bahasa dan Pustaka
Pengulas : Suria Janib

HAMKA atau nama sebenarnya Haji Abdul Malik Karim Amrullah lahir pada 17 Februari 1908 di Maninjau, Sumatera Barat, Indonesia. Sejak berusia belasan tahun, Hamka menunjukkan minat membaca dan menulis terutama karya sastera dan sejarah.

Pengalamannya bergiat aktif dalam Parti Sarekat Islam serta Muhammadiyah, digunakan sebaik­-baiknya oleh Hamka dalam tulisannya. Antara buku terawal beliau ialah Si Sabariyah dan Laila Majnun.

Ketika berusia 19 tahun, Hamka menunaikan haji di Makkah. Beliau tinggal dan bekerja di sebuah kilang cetak di kota suci itu selama enam bulan. Peluang tersebut digunakan Hamka untuk membaca, menulis, dan menguasai bahasa Arab.

Pemikiran awal Hamka dapat diikuti menerusi penulisannya dalam majalah Pedoman Masyarakat sehingga melahirkan karya besar seperti Tasawuf Moden, Falsafah Hidup, Lembaga Hidup, dan Lembaga Budi yang dikategorikan sebagai buku agama. Di samping itu, lahir beberapa buah karya sasteranya yang agung seperti Di Bawah Lindungan Kaabah dan Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck.

Majalah Pedoman Masyarakat terhenti ketika berlaku Perang Dunia Kedua dan kemasukan bala tentera Jepun. Selama tiga setengah tahun di bawah pemerintahan Jepun, Hamka mencurahkan perhatiannya dengan memimpin Muhammadiyah Sumatera Timur. Hamka turut aktif berjuang bersama-sama pemimpin Indonesia yang lain menuntut kemerdekaan Indonesia.

Thursday, 13 November 2008

Pantun Setia Kasih Untukmu Malaysia




Tajuk Buku : Pantun Setia Kasih Untukmu Malaysia
Penulis : Abang Seruji Abang Muhi
Pengulas : Ani Hamzan

Pantun merupakan tonggak utama dalam sastera lisan yang mendahului syair, gurindam, seloka, dan nazam, malah pantun lebih di­kenali dan popular hingga kini. Terdapat banyak ciptaan baharu dalam penulisan pantun, seperti yang diusahakan oleh Abang Seruji Abang Muhi. Beliau, anak jati Bumi Kenyalang, berjaya menghasilkan 660 rangkap pantun yang bertemakan kesetiaan kepada negara.

Menurut penulis, ilham untuk mencipta pantun­pantun ini lahir di tengah-tengah kesibukan rakyat Sarawak menyambut ulang tahun ke-25 Kemerdekaan Sarawak dalam Malaysia, sebagai tanda terima kasih atas jasa para pemimpin kerana membawa Sarawak ke puncak kejayaan.

Buku ini terbahagi kepada tiga bahagian, iaitu bahagian pertama "Pantun Setia Malaysia" terdiri daripada "Setia Kasih”, "Perjuangan”, "UMNO”, "Gemilang”, "Budi", "Budaya", "Pemimpin", dan "Perpaduan". Bahagian kedua, "Pantun Setia Kasih: Sayang Sarawak" dan bahagian ketiga,”Pantun Setia Negara: Pantun Berkait”.

Kesemua pantun empat kerat yang disajikan dalam buku ini mempunyai unsur nilai estetika yang tinggi, mengekalkan unsur sastera/pantun, unsur sejarah/ legenda, unsur nilai pendidikan/moral/sindiran dan unsur nilai maksud/tujuan. Bahasa yang digunakan oleh pengarang dalam pantun ciptaannya merupakan bahasa seharian yang mudah difahami oleh masyarakat.

Wednesday, 12 November 2008

Permata di Rumput Gilang-Sastera Sebagai Ruang Bangsa



Tajuk Buku : Permata di Rumput Gilang-Sastera Sebagai Ruang Bangsa
Penulis : Muhammad Haji Salleh
Penerbit : Dewan Bahasa dan Pustaka
Pengulas : Hassan Alias

Usaha Muhammad Haji Salleh menggali permata yang terpendam dan cahaya yang menyinar dalam karya sastera Melayu seperti tiada kesudahannya. Beliau merantau dari benua ke benua;mengunjungi perpustakaandan muzium hingga ke Eropah untuk membuat kajian, beliau mengakui bahawa karya sastera Melayu tidak lebih rendah jika dibandingkan dengan karya Eropah, malah mencapai tahap luar biasa.

Beliau mengagumi karya epik seperti sulalat al-Salatin yang apabila dibaca membibitkan pengalaman agung sebagaimana beliau membaca karya Shakespeare, Geothe dan Ramayana. Sulalat al-Salatin memberi kepuasan dari sudut epistemologi, estetik, moral dan politik.

Buku terbaharu Muhammad Haji Salleh ini bukan setakat menyorot Sulalat al-Salatin, malah turut menyorot beberapa karya besar yang lain seperti Hikayat Hang Tuah, puisi Al-Amin karya A. Samad Said, karya Ahmad Rashid Talu, dan pantun. Beliau juga menyentuh genre kritikan sastera abad ke-21 dan Pulau Pinang sebagai pusat ilmu dan perkembangan intelektual.

Buku ini terbahagi kepada empat bahagian, iaitu “Dari Genius Silam” (Bahagian 1), “Puisi Sebagai Ruang Bangsa” (Bahagian 2), “Pada Bendul Perubahan” (Bahagian 3) dan “Mencari Teori dan Diri” (Bahagian 4).

Penulis memulakan Bahagian 1 dengan esei “Sulalat al-Salatin:Adikarya Akal Budi Melayu.” Penulis memperlihatkan betapa besar jumlah karya ini yang dapat ditemukan hingga ke Jakarta, London, St. Petersberg, Leiden dan Manchester. Hikayat ini diminati dan dikaji oleh orang England, Perncis, Belanda, Jerman dan China.

Tuesday, 11 November 2008

Asia's Star Brand



Tajuk Buku : Asia's Star Brand
Penulis : Paul Temporal
Pengulas : Anuar Manshor

Dr. Paul Temporal, penulis buku Asia's Star Brand menulis berkenaan syarikat­-syarikat yang berjaya dari segi penjenamaan.

Beliau merupakan Profesor Adjung di Universiti Shanghai Jiao Tong Universiti, China dan terkenal sebagai "sifu" dalam bidang pemasaran. Justeru, setiap hasil karyanya memang dinanti-nantikan oleh setiap ketua pegawai eksekutif, usahawan, pengurus korporat, penganalisis ekonomi, dan pelajar ekonomi. Antara bukunya yang mendapat sambutan hangat termasuklah Branding in Asia dan Advanced Brand Management.

Menurut ramalan pakar ekonomi dunia, abad ke-21 merupakan zaman kebangkitan ekonomi Asia. Ramalan ini ada benarnya, dengan meningkatnya Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) beberapa negara di Asia seperti China, Jepun, India, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Singapura, Korea Selatan, Thailand dan Malaysia. Oleh itu, amat bertepatan Temporal menghasilkan "biografi jenama" dalam masa Amerika Syarikat dan beberapa negara Barat yang menghadapi kemelesetan ekonomi.

Dalam bab mengisahkan kejayaan AirAsia bersaing dalam perniagaan yang menelan kos tinggi, iaitu industri penerbangan, Temporal menyatakan Tony Fernandes dan kumpulan pemikirnya bijak menyelami kehendak pelanggan atau penumpang. Dengan menguar-uarkan falsafah AirAsia, "Now Everyone Can Fly", syarikatyang belum sampai 10 tahun beroperasi itu berjaya "menumpangkan" lebih enam juta orang dan beroperasi lebih 200 penerbangan sehari ke lebih 100 lokasi domestik dan antarabangsa.

Monday, 10 November 2008

Anugerah Pertama




Tajuk Buku : Anugerah Pertama
Penulis : Ramlee Awang Murshid
Penerbit : Creative Enterprise Sdn. Bhd.Tebal : 376
ISBN : 983-893-421-6

Pembacaan semula Anugerah Pertama membuat saya lebih mengenali gaya penulisan Ramlee Awang Murshid. Anugerah Pertama adalah karya beliau yang kedua selepas Igauan Maut. Berbanding dengan Igauan Maut yang telah memenangi Hadiah Kedua Peraduan Menulis Novel Dewasa 1992 anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah, Anugerah Pertama lebih tebal dan lebih mencabar kredibiliti pembaca.

Jika Igauan Maut membuat saya teruja dengan rasa ingin tahu dan berteka-teki sehingga ke penghujung novel begitu juga halnya dengan Anugerah Pertama. Namun demikian, saya harus jujur dengan mengatakan bahawa saya sebenarnya merasa sedikit bosan dengan “rentak” bahasa yang digunakan dalam karya beliau kali ini. Mungkin kerana penerbit meminta agar beliau meleretkan cerita agar buku agak tebal dan gaya bahasa yang pada saya agak “jiwang” dengan “lenggok” yang lebih kurang sama dengan novel terbitan Creative Enterprise Sdn. Bhd. (CESB) yang lain untuk mengekalkan “jenama” CESB.

Dari perspektif yang lain, saya kira adalah wajar memberi pujian kepada saudara Ramlee kerana membuat saya meneka-neka bagi menyelesaikan teka-teki siapakah pembunuh yang sebenarnya walau pun membaca novel ini buat kali yang kedua. Sedari awal lagi, saudara Ramlee menggunakan personaliti dwi-identiti dalam karya beliau selain Mandatori dan Rahsia Perindu.

Anugerah Pertama mengisahkan Anuar Jardi seorang penyampai radio yang mempunyai kelebihan untuk melihat apa yang telah berlaku atau dikenali sebagai psikik bagi membantu polis menyelesaikan kes pembunuhan bersiri yang berlaku di sekitar Kota Kinabalu. Beliau mendapat anugerah tersebut setelah pulih dari koma akibat kemalangan jalan raya yang tragik. Apa yang menarik adalah beliau menemui ”Puteri” dalam igauan beliau ketika koma dalam dunia realiti ketika beliau cuba membantu pihak polis. Karya beliau ini juga mengingatkan saya dengan karya-karya penulis Barat seperti Stephen King yang gemar memaparkan elemen tele-pati dalam karya beliau.

Seingat saya inilah satu-satunya karya beliau yang menyentuh elemen psikik dan tele-pati. Ketika membaca Anugerah Pertama, saya juga berfikir adakah dalam dunia realiti juga terdapat manusia yang mempunyai kelebihan seperti Anuar? Hanya Allah yang Maha Mengetahui. Saya juga mengharapkan agar beliau akan menghasilkan karya yang mengetengahkan elemen psikik/tele-pati seperti ini pada masa akan datang.

Saya tidak ingin menyentuh dengan lebih lanjut tentang jalan ceritanya kerana saya percaya ramai lagi dalam kalangan rakan-rakan RAMFC yang belum memiliki buku ini. Apa yang saya harapkan adalah agar RAMFC dapat mengajukan cadangan kepada CESB untuk membuat cetakan Anugerah Pertama yang saya rasa sudah kehabisan stok dalam pasaran.



Kasih Bonda - Kampung Paya Kami



Tajuk Buku : Kasih Bonda - Kampung Paya Kami
Penulis : Siti Zainon Ismail
Penerbit : Dewan Bahasa dan Pustaka
Pengulas : H. Ardy

Saat kita melalui zaman serba canggih ini, berapa ramai orang yang suka mengimbau kenangan silam hidup mereka di kampung yang kental dengan unsur tradisinya? Berapa ramai pula yang sanggup mempertahankannya daripada dikambus oleh pemodenan atas nama kemajuan?

Mungkin itu mesej yang ingin disampaikan oleh Siti Zainon Ismail melalui kumpulan puisi sketsa Kasih Bonda: Kampung Paya Kami. Kumpulan puisi in lahir mungkin untuk mendepani usaha Dewan Bandaraya Kuala Lumpur yang memperkenalkan Draf Bandar Raya Kuala Lumpur 2020 yang dicanangkan akan menghapuskan kampung tradisi di pinggir Bandar.

Kumpulan puisi ini terbahagi kepada lima bahagian: Keluarga Kami (Bahagian 1), Halaman Sekolah (Bahagian 2), Kehidupan Kampung (Bahagian 3), Mari Bermain (Bahagian 4), dan Perayaan (Bahagian 5). Keseluruhannya memaparkan 47 buah puisi. Pengenalan kumpulan puisi ini dinukilkan oleh Sasterawan Negara A. Samad Said.

Siti Zainon memulakan kumpulan puisinya dengan “Sungai Gombak, Kasih Bonda”. Penyair menggambarkan Sungai Gombak pada tahun 1950-an yang masih terpelihara, dengan jambatan gantung yang merentanginya dan ikan teberau yang melompat-lompat ria. Di gigi airnya para ibu membasuh kain manakala anak-anak kecil berlompatan mandi. Peri kasih Siti Zainon kepada Sungai Gombak digambarkan pada bait ini: di situ darahku mengalir/o kasih bonda/kala bidan Diyeh membersihkan uri/pertama kali aku mandi suci/mensyukuri limpah kasih ibunda kami.

Friday, 7 November 2008

Postponing Truth and Other Poems/Menangguhkan Kebenaran dan Sajak-sajak Lain



Tajuk Buku : Postponing Truth and Other Poems/Menangguhkan Kebenaran dan Sajak-sajak Lain
Penulis : Baha Zain
Penerbit : Dewan Bahasa dan Pustaka
Pengulas : Ani Hamzah

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sentiasa berusaha untuk mengembangkan lagi karya penulis tanah air ke peringkat antarabangsa. Kelahiran buku kumpulan sajak Baha Zain dalam dua bahasa iaitu bahasa Inggeris dan bahasa Melayu yang berjudul Postponing Truth and Other Poems/Menangguhkan Kebenaran dan Sajak-sajak Lain, membuktikan kesungguhan DBP untuk mengantarabangsakan karya penulis tersohor tanah air. Sajak-sajak Baha Zain ini telah diterjemahkan oleh Sasterawan Negara Muhammad Haji Salleh.

Buku kumpulan puisi Baha Zain ini dibahagikan kepada enam segmen. Segmen pertama, dikumpulkan sajak daripada bukunya, Women and Sillhouttes /Perempuan dan Bayang-bayang. Dalam bahagian ini lima buah sajak Baha Zain yang memperkatakan perasaan dan pandangannya tentang wanita dipaparkan. Baha Zain dengan kekuatan bahasanya, bermain dengan simbolik menggunakan “matahari” dan “bulan” sebagai lambang dalam sajak “Sketsa Anak Kecil”.

Dalam sajak “Perempuan” dan diterjemahkan menjadi “Women”, Baha Zain melambangkan wanita itu bagaikan “hutan hijau yang tebal”, bagaikan “udara dari gunung”, bagaikan “gelombang di pantai”, bagaikan “badai yang tak terkawal” dan katanya lagi “seolah-olah nafasmu yang ganas itu berkuasa di mana-mana”. Lihatlah betapa indahnya sajak ini apabila diterjemahkan ke bahasa Inggeris seperti berikut:
My deep green jungle
my mountain gale
my surf on the shore
my wild tempests
tempt me with our ambiguous languange
fire, wind, earth and water are words that propel me
as though your violent desire reigns everywhere

Thursday, 6 November 2008

MAP (Memory Advancing Procedure) For Students



Tajuk Buku : MAP (Memory Advancing Procedure) For Students
Penulis : Lim Teck Hoe dan Tengku Faizwa Tengku Razif
Penerbit : The Switch Sdn. Bhd.Pengulas : Muhammad Azli Shukri

Kita mungkin biasa mengalami situasi tidak dapat mengingati barang yang baru beberapa saat diletakkan. Puas mencari di seluruh rumah, akhirnya barang yang dicari berada di hadapan mata. Ada juga yang tidak dapat mengingati tempat kenderaan diletakkan semasa keluar membeli-belah sehingga terpaksa turun naik anak tangga beberapa kali, gara-gara tidak berjumpa kereta yang dicari. Alasan biasa diberikan bagi kedua-dua kejadian tersebut ialah lupa. Pada masa itu, barulah kita terfikir alangkah baiknya sekiranya mempunyai ingatan yang kuat.

“Memang jadi kelaziman manusia hanya merasakan pentingnya ingatan apabila mereka lupa. Mereka ‘ingat apabila lupa’, ujar pemenang pingat perak Kejohanan Memori Sedunia 2002, Lim Teck Hoe, yang merupakan penulis buku Memory Advancing Procedure (MAP), buku yang mengajar cara memperbaiki daya pemikiran, di samping menyerlahkan kecekapan dan peningkatan keupayaan memori.

Beliau berkata, manusia sebenarnya kurang menghargai keupayaan menginat yang dimiliki, malah kadangkala memandang rendah kemampuan melakukan perkara paling mudah seperti mengingati senarai barang dapur yang ingin dibeli atau tarikh penting dalam kehidupan mereka.

“Kita lupa kerana kita ‘mengarahkan’ otak supaya memadamkan data daripada kotak ingatan. Kita juga jarang-jarang memberikan tumpuan atau mengambil mudah perkara kecil, seperti tempat barang diletak kerana otak sudah memikirkan perkara lain untuk dibuat. Jadi, apabila mahu mencari semula barang itu, kita lupa lokasinya kerana data sudah dipadamkan oleh otak,” ujarnya.

Wednesday, 5 November 2008

Hendak Ulam Pucuk Menjulai



Tajuk Buku : Hendak Ulam Pucuk Menjulai Sebuah Autobiografi
Penulis : Sokme Samdin
Penerbit : Dewan Bahasa dan Pustaka
Pengulas : Junaidah Ahmad Ghazali

Menelusuri autobiografi Sokme Samdin, Hendak Ulam Pucuk Menjulai Sebuah Autobiografi, anda pasti sukar untuk memberhentikan pembacaan kerana penulisannya yang lancar dan mengasyikkan boleh menyebabkan anda ralit membacanya. Buku ini memaparkan pengalaman suka duka pengarang dalam mengharungi kehidupan dan kerjayanya sebagai pendidik.

Sokme yang sejak kecil menanam cita-cita untuk menjadi guru, semakin teruja diterima melanjutkan pelajaran di Convent of Holy Infant Jesus Secondary School, Melaka. Bagi Sokme, peluangnya semakin luas dan semakin dekat untuk mencapai cita-citanya. Semangatnya semakin menyala apabila melihat saban tahun seniornya terbang ke United Kingdom untuk melanjutkan pengajian dalam bidang perguruan di sana.

Pengarang yang amat meminati mata pelajaran Bahasa Inggeris memasang angan-angan untuk menjadi pelajar Kirby atau Brinsford Lodge, United Kingdom. Namun demikian, nasib kurang menyebelahinya ketika itu. Sungguhpun memperoleh keputusan yang memuaskan bagi peperiksaan Lower Certificate of Education (LCE), Sokme tidak dapat meneruskan pengajian kerana beliau bertemu jodoh dengan inspektor polis.

Pada usia muda, beliau melayari kehidupan berumah tangga. Walaupun agak kecewa dengan impian yangtidak kesampaian, Sokme tidak mengaku kalah. Setelah memperoleh anak sulungnya, beliau mengikuti kelas malam sehingga lulus peperiksaan Senior Certificate (SC) dan General Certificate of Education (GSE).

Tuesday, 4 November 2008

Adam



Tajuk Buku : Adam
Penulis : Amil Jaya
Penerbit : Dewan Bahasa dan Pustaka
Pengulas : Ani Hamzan

Buku kumpulan cerpen terbaharu Amil Jaya ini memuatkan 18 buah cerpen nukilannya yang mengetengahkan persoalan keagamaan dan kemasyarakatan. Setiap cerpennya dan pengajaran yang boleh dijadikan pedoman hidup kepada setiap insane baik yang muda mahu pun yang tua.

Kisah dalam cerpen “Adam” dan “Bidadari” misalnya, diambil daripada kisah benar yang terdapat dalam al-Quran. Cerpen “Adam” berkisar tentang Nabi Adam dan Hawa yang diperdaya oleh syaitan hingga kedua-duanya dimurkai Allah dan dikeluarkan dari syurga. Bermula daripada peristiwa itu, hiduplah manusia daripada keturunan Adam dan Hawa di muka bumi ini dalam keadaan bermusuh-musuhan, diperdaya dan memperdaya serta mempunyai perasaan hasad dengki antara satu sama lain. Iblis yang telah berjanji dengan Allah akan menghasut manusia supaya mengerjakan larangan Allah dan meninggalkan suruhan Allah, terus menerus menghasut manusia.

“Bidadari” pula mengungkap kembali kisah Nabi Ismail yang meninggalkan anaknya bersama-sama isterinya, Siti Hajar di tanah gersang padang pasirkerana menurut perintah Allah. Siti Hajar yang taat kepada perintah Allah menerima keadaan itu dengan reda. Peristiwa itulah yang menjadikan kawasan sekitarnya tempat beribadah bagi sekalian umat Islam iaitu tanah suci Mekah.

Selain kisah-kisah berdasarkan al-Quran, penulis juga menghasilkan cerpen keagamaan berdasarkan kisah yang berlaku dalam masyarakat kini. Cerpen “Aku Setuju” mengisahkan hokum nikah kahwin yang hanya sah jika mendapat persetujuan daripada kedua-dua pihak, iaitu bakal pengantin lelaki dan pengantin parempuan.

Dalam cerpen ini, Ambara, pengantin lelaki yang telah mempunyai isteri berhajat menambah seorang lagi ister. Denganmemberi wang hantaran yang tinggi dan menggunakan he;ahuntuk mendapatkan tanda tangan isterinya dalam borang kebenaran untuk bernikah lagi, Ambara berkeyakinan benar hasratnya akan tercapai. Apatah lagi dia telah pun berada di hadapan jurunikah dan saksi-saksi pernikahannya. Namun begitu, semua harapannya musnah apabila pernikahan yang diimpikannya itu tidak mendapat persetujuan daripada pengantin perempuan yang dipaksa oleh ayahnya, Pak Juragan Budiman.

Daripada beberapa buah cerpen yang dikumpulkan dalam buku ini, nampaknya penulis begitu gemar membawa persoalan yang berlandaskan perkahwinan dan jodoj pertemuan. Cerpen “Berkakuk” misalnya, memperlihatkan bagaimana keadaan seorang lelaki yang sudah menjadi bujang terlajak, ingin mencari calon isterinya. Gamus, sudah hilang perasaan malu. Dia sendiri sanggup menemui keluarga gadis pilihan hatinya itu. Biarpun, gadis itu terlalu muda dan masih bersekolah, dia tidak peduli. Lantaran lamarannya ditolak, Gamus sanggup menganiayai keluarga gadis itu. Adakah Gamus berjaya dengan niat jahatnya itu dan bagaimanakah nasib keluarga gadis itu?

Jika dalam “Berkakuk” Amil Jaya mengetengahkan kisah tekanan perasaan seorang bujang terlajak, dalam “Berani itu Rahmat”pula, penulis mengetengahkan isu kegelisahan seorang andartu, bernama Siti Zubaidah yang sukar bertemu jodohnya, sedangkan di atidak mempunyai apa-apa kekurangan. Dengan menggunakan strategi baharu, adakah Siti Zubaidah mampu menawan hati mana-mana lelaki? Apakah strateginya itu dan apakah kesudahan cerpen ini? Dapatkan buku kumpulan cerpen terbaharu Amil Jaya ini yang mengetengahkan cerpen-cerpen yang menarik buat tatapan peminat sastera.

Sumber : Dewan Sastera Oktober 2008