Monday, 22 September 2008

Reaching For The Stars



Tajuk Buku : Reaching For The Stars
Penulis : Sheikh Mustapha Shukor Al-Masrie
Penerbit : MPH Group Publishing Sdn. Bhd.
Bilangan Mukasurat : 71
ISBN : 978-983-3698-78-3

Ulasan Yang Telah Dikemskini :

Buku yang ditulis sepenuhnya di dalam Bahasa Inggeris ini adalah sebuah catatan peribadi Allahyarham Sheikh Mustapha Shukor (dikenali sebagai Ajil di kalangan keluarga) untuk didedikasikan kepada abangnya YBhg. Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor (dikenali sebagai Amus di kalangan keluarga) dan juga untuk golongan remaja Malaysia sebagai penggalak dan dorongan motivasi kepada mereka untuk mencipta nama di arena sains angkasa.

Penulisan Allahyarham Ajil hanya mengisi separuh daripada kandungan buku ini yang mana lebih menjurus kepada profail Amus dan proses pemilihan sebagai angkasawan serta detik-detik bersejarah pelepasan dan kepulangan Amus ke angkasa lepas. Turut dimuatkan pada bahagian awal buku ini adalah latar belakang mereka adik-beradik dan kehidupan mereka sedari kecil sehinggalah kini. Manakala separuh buku lagi adalah tulisan ahli keluarga terdekat - adik-beradik Allahyarham Ajil termasuk ayah Allahyarham iaitu YBhg. Datuk Sheikh Mustapha Sheikh Shukor untuk didedikasikan kepada Allahyarham Ajil sendiri.

Terima kasih kepada yang memberikan komen dan memberitahu saya bahawa terdapat juga versi Bahasa Melayu - Menggapai Bintang. Cuma tidak pasti sama ada ia dikeluarkan serentak, lebih dahulu atau pun kemudian.

Kepada remaja yang bercita-cita hendak mencipta nama di arena sains angkasa, buku ini adalah permulaan yang baik bagi anda memotivasikan diri. Begitu juga kepada ibu bapa yang inginkan anak mereka berjaya seperti Amus, hadiahkanlah buku ini kepada anak-anak anda sebagai penggalak.



Sunday, 21 September 2008

Anak Bentayan



Tajuk Buku : Anak Bentayan
Penulis : Hamdan Raja Abdullah
Penerbit : Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP)
Bilangan Mukasurat : 154
ISBN : 983-62-8060-X
Anugerah : Hadiah Kedua Peraduan Menulis Novel Sejarah (Kanak-Kanak) DBP 1981

Ulasan :

Seperti juga Terima Kasih Nudra Syafini, Anak Bentayan adalah di antara novel terawal yang saya baca semasa di bangku sekolah rendah. Saya juga mendapatkan buku ini semasa Jualan Gudang Dawama yang baru lalu.

Membaca semula novel ini, seolah-olah membaca kesinambungan cerita Hijab Sang Pencinta oleh Ramlee Awang Murshid kerana cerita ini berlatar belakangkan tahun 1511, ketika Portugis (disebut sebagai Peringgi di dalam novel ini) berjaya menawan dan menduduki Melaka.

Ia mengisahkan kisah perjuangan untuk mendapatkan semula Melaka oleh sekumpulan rakyat yang masih menyokong Sultan Mahmud. Fokus cerita ini adalah pada watak Andak sebagai Anak Bentayan di Kuala Muar, yang baru berusia 14 tahun tetapi sudah mampu untuk mengepalai sekumpulan hulubalang untuk membuat serangan demi serangan. Turut dimasukkan di dalam cerita sejarah ini adalah watak Laksamana Hang Nadim, Bendahara Tepok, Tun Isap, Sang Setia dan beberapa watak sejarah yang seolah-olah ‘hidup’. Ia digarap dengan begitu baik sekali sehingga ke penghujung novel. Wajarlah ia dinobatkan sebagai pemenang Hadiah Kedua Peraduan Menulis Sejarah (Kanak-Kanak) DBP pada tahun 1981.

Pada pendapat saya, buku ini bukan sahaja sesuai dibaca oleh golongan remaja tetapi juga harus dibaca oleh semua golongan bagi mengambil iktibar perjuangan Andak bersama angkatan Sultan Mahmud untuk mendapatkan semula Melaka dan seterusnya memartabatkan semula bangsa Melayu yang telah kehilangan negeri.


Terima Kasih Nudra Syafini





Tajuk Buku : Terima Kasih Nudra Syafini
Penulis : Abdul Ahmad
Penerbit : Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP)
Bilangan Mukasurat : 146
ISBN : 983-62-0331-1

Ulasan :

Seingat saya, saya membaca buku ini ketika di Sekolah Rendah dahulu. Novel ini adalah di antara penulisan terawal yang saya baca. Kebetulan saya berkunjung ke Jualan Gudang Dawama pada bulan Julai / Ogos yang lalu, saya terpandang buku ini lantas membelinya untuk koleksi peribadi dan sebagai galakan kepada anak-anak saya untuk membudayakan aktiviti membaca.

Buku yang dipaparkan dengan gaya santai ini amat sesuai dibaca oleh para remaja. Walau pun santai, namun ia penuh dengan pengajaran. Ia mengisahkan kehidupan harian sekumpulan remaja Tingkatan 3 yang mana watak utamanya ialah Nudra Syafini dan Badrul Hisyam. Badrul Hisyam yang baru sahaja berpindah sekolah ke Sekolah Menengah Simpang Sepuluh adalah anak kepada orang kaya dan terkenal dengan kenakalannya mengusik Nudra Syafini. Walau pun Badrul Hisyam hidup dalam kemewahan, Badrul Hisyam miskin didikan agama. Sementara Nudra Syafini yang hidup di dalam serba sederhana tetapi kaya dengan didikan agama.


Saturday, 20 September 2008

Khadijah - Cinta Abadi Kekasih Nabi



Tajuk Buku : Khadijah - Cinta Abadi Kekasih Nabi
Penulis : Dr. Muhammad Abduh Yamani
Penerbit : PTS Islamika, PTS Publications & Distributors Sdn. Bhd.
Bilangan Mukasurat : 219
ISBN : 978-983-192-439-6

Ulasan :

Terus-terang saya katakan amat sukar bagi saya menghabiskan buku ini. Pada masa komentar ini saya taip, saya hanya mampu membaca 3/4 daripada buku ini.

Tujuan / Niat penulis menghasilkan buku ini sungguh murni - agar umat Islam amnya dan para muslimah khususnya dapat mengetahui bakti Siti Khadijah di dalam perkembangan agama Islam.

Namun, apa yang menyedihkan saya adalah cara penulisan buku ini begitu membosankan kerana terdapat beberapa perkara diulang-ulang sehingga menimbulkan kebosanan apabila membacanya. Cara penyampaian juga seperti menyampaikan syair atau sajak yang pada saya kurang sesuai apabila membuat penulisan biografi.

Pada pendapat saya, intipati buku ini hanyalah sedikit tetapi sengaja dileretkan agar sedikit tebal dan dibukukan dengan kulit tebal supaya menepati harga jualannya iaitu RM36.00 (Semenanjung) / RM39.00 (Sabah/Sarawak). Benarlah kata pepatah "Don't judge the book by it's cover", kulit sahaja cantik tetapi isinya kurang menarik.

Ada baiknya, biografi ini juga digabungkan bersama dengan biografi isteri-isteri Rasulullah s.a.w. yang lain termasuk Siti Aisyah r.a. yang terkenal sebagai periwayat hadis Rasulullah s.a.w. yang banyak. Sebaiknya juga, penulis harus memaparkan bagaimana Rasulullah s.a.w bersikap adil dengan isteri-isteri Baginda, sebagai contoh dan tauladan serta sebagai menepis tohmahan yang dilemparkan oleh para orientalis Barat yang mengatakan Islam tidak menghormati hak wanita kerana menghalalkan poligami. Sekiranya semua perincian ini ada, barulah berbaloi dengan harga jualannya.


Wednesday, 17 September 2008

Mandatori



Tajuk Buku : Mandatori
Penulis : Ramlee Awang Murshid
Penerbit : Alaf21 Sdn. Bhd.Bilangan Mukasurat : 505
ISBN : 983-124-039-1

Ulasan :

Mandatori yang digarap berdasarkan kisah benar, memaparkan konflik personaliti seorang pemuda yang tertekan akibat kematian ayahnya yang tidak bersalah tetapi dijatuhi hukuman gantung sampai mati. Pemuda ini membalas dendam dengan memberikan hukuman mati mandatori kepada orang yang terlibat di dalam menjatuhi hukuman mati ke atas ayahnya.

Berlatar belakangkan kampung halaman RAM sendiri yang juga berhampiran dengan kampung saya, membuatkan saya begitu teruja ketika membaca cerita ini.

Mandatori adalah karya RAM yang berjaya memaparkan konflik personaliti dengan baik sebelum penghasilan Rahsia Perindu. Pembaca berteka-teki siapa sebenarnya yang mendalangi pembunuhan bersiri yang berlaku yang hanya melibatkan orang-orang tertentu sahaja.

Namun, kepada pembaca yang agak bijak akan dapat meneka jawapan kepada teka-teki ini.
Buku yang sarat dengan suspen dan teki-teki ini sesuai dibaca oleh semua golongan terutama sekali mereka yang amat menggemari genre 'thriller'.




Tuesday, 16 September 2008

Sudara



Tajuk Buku : Sudara
Penulis : Arena Wati
Penerbit : Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP)
Bilangan Mukasurat : 427
ISBN : 983-62-4080-2

Ulasan :

Pada peringkat permulaan, agak sukar bagi saya membaca Sudara kerana ia disampaikan oleh penulis di dalam bahasa Melayu Indonesia yang sukar untuk saya fahami. Tetapi, lama-kelamaan setelah membacanya berulang-ulang kali, saya mula mengikuti rentak dan berjaya juga menghabiskan pembacaan walau pun ada masanya saya terpaksa membelek semula beberapa segmen sebelum itu bagi meraih pemahaman yang lebih.

Sudara (bermaksud saudara) bagi saya adalah kisah yang mampu membawa kita kembali kepada sejarah. Berasaskan cerita pencarian Raja Hamidah ke atas pasangan caping yang beliau miliki dan pusakai, penulis mampu membawa pembaca meneroka sejarah Melayu Makasar. Usaha Raja Hamidah membuahkan hasil dan berjaya menemui pasangan caping tersebut setelah dipisahkan selama 324 tahun. Kisah pencarian beliau yang hampir menemui jalan buntu tetapi penuh dengan pengembaraan juga diselitkan dengan kisah cinta di antara Raja Hamidah dan Salehuddin yang saya kira untuk mengendurkan emosi pembaca yang agak tegang. Membaca Sudara seperti merasakan bahawa diri saya adalah Raja Hamidah yang merupakan watak utama novel ini.

Sudara sesuai dibaca oleh semua golongan terutama sekali mereka yang menggemari genre 'epik thriller'.


Citra




Tajuk Buku : Citra
Penulis : Arena Wati
Penerbit : Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP)
Bilangan Mukasurat : 294
ISBN : 983-62-2266-9

Ulasan :

Sudah terlalu lama saya khatam buku ini namun tidak berkesempatan untuk memberikan ulasan mengenainya. Mungkin para remaja dewasa kini tidak begitu mengenali penulisnya Arena Wati yang juga merupakan Sasterawan Negara yang seangkatan dengan A. Samad Said dan Shahnon Ahmad.

Seingat saya, saya membaca buku ini buat kali pertama kalinya kira-kira 14 tahun lepas ketika saya masih di dalam pengajian tinggi di UTM Skudai, Johor. Walau pun pada ketika itu, kehidupan sebagai pelajar memerlukan wang untuk membayar yuran pengajian, membeli buku-buku rujukan, peralatan alatulis dan memenuhi keperluan harian, saya paksakan diri juga untuk membeli buku-buku karya Sasterawan Negara semata-mata untuk mengetahui dan menyelami hasil tulisan mereka.

Ternyata komitmen saya di dalam keterpaksaan dan kecintaan saya terhadap buku tidak sia-sia kerana penulisan mereka begitu berkesan sekali. Citra juga adalah di antara buah tangan Arena Wati yang begitu baik menggambarkan kisah perjuangan sekelompok orang Melayu Kuala dan Melayu Pulau yang telah berpecah akibat keberantakan politik dan keadaan ekonomi yang meruncing. Mereka berjuang untuk memartabatkan semula maruah mereka daripada cengkaman orang-orang yang hanya mementingkan kekayaan dan kesenangan dunia semata-mata.

Karya yang agak padat dengan kisah kehidupan ini amat bersesuaian dengan semua golongan terutama sekali golongan remaja yang pada ketika ini rata-ratanya begitu leka dengan arus kemodenan tanpa ada rasa keinginan untuk memartabatkan diri, bangsa, agama dan negara.

Membaca Citra membuat saya tersadar bahawa masa depan diri sendiri dan mereka di sekeliling kita sama ada mahu atau tidak adalah bermula daripada diri kita sendiri. Situasi di dalam buku ini seolah-olah bertepatan dengan senario yang kita tengah hadapi kini - percaturan politik, isu pertelingkahan kaum, ketidakstabilan politik dan sedikit kepada pergeseran agama. Adakah kita mampu untuk memulihkan keadaan ini? Tepuk dada tanyalah diri sendiri. Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum melainkan dia mengubah dirinya sendiri.

Walau pun sarat dengan konflik, Arena Wati turut memaparkan kisah percintaan yang pada saya agak melucukan di antara Bacok dan Jeng Sari. Kisah cinta mereka yang mencuit hati mampu membuatkan pembaca 'berehat' seketika sebelum dibawa semula ke dalam konflik.


Monday, 15 September 2008

Aku Darah Anak Malaysia - ADAM




Tajuk Buku : Aku Darah Anak Malaysia - ADAM
Penulis : Ramlee Awang Murshid
Penerbit : Alaf21 Sdn. Bhd.Bilangan Mukasurat : 570
ISBN : 983-124-099-5

Ulasan :

ADAM adalah buku saudara Ramlee yang pertama saya beli dan baca. Pada ketika itu, saya membelek-belek buku yang sesuai untuk saya baca, kebetulan saya telah lama tak 'melayan' hobi membaca saya. Saya kurang gemar dengan buku-buku yang semata-mata berkisar dengan tema cinta dan perasaan di antara lelaki dan perempuan. Bagi saya, tema sebegini hanya membejatkan minda.

Belek punya belek, saya terpandang buku ADAM yang nampaknya lain daripada yang lain, dahlah berwarna kuning, siap dengan gambar cop 'President of United States' pula tuh. Saya kenal penulisnya adalah berasal dari negeri yang sama dengan saya - Sabah. Bila sahaja terbaca sinopsis kat belakang buku ini, saya tak fikir panjang lagi dan terus membelinya.

Ternyata buku ini memberikan saya kepuasan membaca kerana ia penuh dengan konflik yang melibatkan kredibiliti politik antarabangsa. Bermula daripada pembacaan ADAMlah, saya cuba mencari karya RAM yang lain bermula daripada Igauan Maut terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Anugerah Pertama terbitan Creative Enterprise Sdn. Bhd., Pei Pan terbitan Utusan Publication sehinggalah karya-karya beliau yang lain terbitan Alaf21. Apa yang jelas, saya begitu berpuas hati dengan hasil kerja beliau dan selayaknya beliau dinobatkan sebagai Novelis Thriller Nombor 1 Malaysia.

Kepada mereka yang inginkan kelainan di dalam pembacaan kategori cereka, saya sarankan anda untuk membaca ADAM.


Klik Untuk Kaya - 8 Rahsia Jutawan Siber



Tajuk Buku : Kilk Untuk Kaya - 8 Rahsia Jutawan Siber
Penulis : Rosli Jamal
Penerbit : Al-Ameen Serve Holdings Sdn. Bhd.Bilangan Mukasurat : 262
ISBN : 983-2334-59-4

Ulasan :

Buku ini dihadiahkan oleh suami saya sebagai dorongan kepada saya memulakan perniagaan melalui Internet. Selesai membaca buku ini, saya begitu teruja sekali untuk memulakan perniagaan melalui Internet. Langkah demi langkah di dalam buku ini saya cuba ikuti tetapi oleh kerana tanggungjawab terhadap tugas yang sedia ada, saya tidak berkesempatan untuk membangunkan laman web saya.

Kepada sesiapa yang membaca komentar ini dan berminat untuk membantu saya membangunkan laman web, sila hubungi saya untuk menawarkan harga pakej anda.

Pada pendapat saya, buku ini patut dibaca oleh mereka yang ingin berjaya di dalam dunia perniagaan. Tidak kira sama ada anda sudah bersara, penganggur, ibu tunggal, surirumah atau ingin melakukan perniagaan secara sambilan juga patut membaca buku ini. Kisah kejayaan orang Malaysia sendiri iaitu Irfan Khairi dan Sen Ze yang berjaya menjadi jutawan Internet patut dijadikan iktibar. Kalau orang lain boleh, kenapa kita tak boleh? Apa yang penting adalah kemahuan yang kuat disertakan dengan pelan perniagaan yang betul.

Yang paling penting - fikirkan apakah barangan (produk) atau perkhidmatan yang anda mahu niagakan. Selepas itu, ikutilah langkah-langkah yang disenaraikan di dalam buku ini.


Senjata Orang Mukmin



Tajuk Buku : Senjata Orang Mukmin
Penulis : Abu Ruwais Al-Syubrawi
Penerbit : Karya Bestari Sdn. Bhd.
Bilangan Mukasurat : 327
ISBN : 978-967-86-0323-2

Ulasan :

Sempena bulan Ramadhan ini, saya ketengahkan sebuah buku yang patut dibaca oleh rakan-rakan yang beragama Islam. Buku ini padat dengan doa-doa dan zikir-zikir yang harus diamalkan oleh seorang muslim sebagai 'benteng' diri dan 'senjata' di dalam menghadapi musibah atau ujian daripada Allah s.w.t.

Sebagaimana hadis berikut diriwayatkan :

Al-Nu'man bin Tsabit r.a yang pernah mendengar Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud:

"Doa merupakan ibadah. lalu baginda membaca firman Allah di dalam surah Al-Ghaafir, ayat 60 : Berdoalah kamu kepadaKu, pasti Aku akan memakbulkan doa kamu itu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong dari beribadah (berdoa) kepadaKu, mereka akan masuk neraka jahanam dalam keadaan hina." - Hadis riwayat Abu Daud dan al-Tarmizi. Beliau mengklasifikasikan sebagai hasan sahih. Ia juga disahihkan oleh al-Hakim. (Dipetik daripada Senjata Orang Mukmin)

Turut dimuatkan di dalam buku ini adalah Ruqyah Sya'riyyah yang diharuskan untuk dibaca sebagai ikhtiar bagi menyembuhkan penyakit 'ain (pandangan jahat).

Setiap doa dan zikir adalah di dalam bahasa Arab dan dilengkapi dengan teks Rumi dan terjemahan dalam bahasa Melayu untuk kemudahan mereka yang kurang mahir berbahasa Arab. Turut dinyatakan juga adalah rujukan kitab atau hadis setiap doa diambil. Justeru itu, para pembaca tidak perlu ragu-ragu tentang kesahihan doa dan zikir yang dibaca.

Thursday, 11 September 2008

Satu Janji



Tajuk Buku : Satu Janji
Penulis : Ramlee Awang Murshid
Penerbit : Alaf21 Sdn. Bhd.Bilangan Mukasurat : 549
ISBN : 983-124-118-5

Sinopsis :

Luqman seorang anak yatim piatu diambil sebagai anak angkat oleh pasangan Datuk Abdullah dan Datin Zaiton. Luqman dibesarkan dengan penuh rasa kasih sayang seperti anak sendiri. Atas rasa kasih dan sayang itulah Datuk Abdullah mewasiatkan syarikat AZ-L Holdings kepada Luqman setelah kematian beliau. Datuk Abdullah mati akibat dibunuh oleh orang yang tidak bertanggungjawab di atas satu motif - tidak mahu rahsia kejahatan mereka terdedah.

Titik tolak daripada kematian Datuk Abdullah itulah, Luqman berjanji kepada diri sendiri untuk menunaikan tanggungjawab sebagai seorang anak dengan berusaha mencari pembunuh ayah angkat beliau. Selain itu, Luqman menyenaraikan janji-janji untuk beliau tunaikan termasuk mencari ayah dan ibu kandung beliau dan mengahwini Adelia - gadis yang berjaya mencuri hatinya. Malang buat Luqman kerana Adelia mengahwini Luqman bukan kerana cinta tetapi kerana terpaksa dan tidak mahu digelar sebagai anak derhaka.

Adelia sebenarnya mencintai Hadi, lelaki yang beliau kenal semasa belajar dahulu. Walau pun layanan Adelia terhadap Luqman begitu hambar dan kadang kala menjengkelkan, Luqman tetap bersabar dan berdoa agar Adelia akan menerima cintanya satu hari nanti. Namun, kedegilan hati Adelia yang seakan tidak mahu menerima Luqman membawa Luqman ke Kundasang, Sabah - tempat yang dicadangkan oleh Luqman untuk bulan madu mereka.

Hatiku Di Harajuku



Tajuk Buku : Hatiku Di Harajuku
Penulis : Ramlee Awang Murshid
Penerbit : Alaf21 Sdn. Bhd.
Bilangan Mukasurat : 583
ISBN : 983-124-240-8

Sinopsis :

Ryu-Watanabe a.k.a Risham seorang bekas yakuza di Jepun cuba untuk membawa Noriko bekas teman wanita beliau ke Malaysia sebagai langkah untuk menyelamatkan Noriko daripada kekejaman yakuza sekaligus meninggalkan dunia yakuza dan merubah kehidupan kepada kehidupan yang lebih baik dan aman yang bersih daripada perbuatan jahat dan dipenuhi dosa.

Risham berusaha untuk berubah dengan balik ke Malaysia setelah kecewa dengan Noriko yang memilih untuk berkahwin dengan seorang yakuza Jepun di atas permintaan ayah Noriko demi untuk menjaga kredibiliti yakuza Amikie. Risham bekerja di sebuah restoran makanan Jepun yang dimiliki oleh Sabrina. Sabrina boleh merasakan bahawa Risham menyimpan identiti sebenar beliau sepanjang bekerja di restoran tersebut. Beliau mula mengesyaki Risham apabila Risham telah menyelamatkan beliau daripada sekumpulan samseng yang cuba mengganggu beliau di tempat letak kereta semasa beliau hendak pulang ke rumah. Namun, Risham berusaha untuk mengelak kerana tidak mahu Sabrina mengetahui rahsia beliau. Rahsia Risham mula terbongkar apabila beliau melarikan diri semula ke Jepun untuk mencari Noriko. Sabrina pergi ke Jepun semata-mata untuk mencari Risham kerana diam-diam sebenarnya Sabrina jatuh cinta dengan Risham.

Kejadian demi kejadian berlaku sepanjang pencarian Risham ke atas Noriko dan pencarian Sabrina ke atas Risham. Sudahnya, Risham berjaya 'memulihkan' Noriko dan mereka berkahwin. Sabrina terpaksa melupakan Risham dengan cara membuang pedang cinta - Tou Aii milik Risham dan Noriko ke laut.

Ulasan :

RAM sekali lagi membawa cerita antarabangsa (setelah ADAM) melalui Hatiku Di Harajuku. Padat dengan aksi dan berlatar belakangkan negara Jepun dan Malaysia sendiri begitu membuat pembaca teruja untuk mengetahui apakah yang bakal berlaku seterusnya. Kepada mereka yang inginkan kelainan yang penuh dengan suspen, buku ini amat sesuai untuk dibaca.



Ketika Cinta Bertasbih 1




Tajuk Buku : Ketika Cinta Bertasbih 1
Penulis : Habiburrahman El-Shirazy
Penerbit : Ar-Risalah Product Sdn. Bhd.
Bilangan Mukasurat : 484
ISBN : 978-983-2672-54-8

Sinopsis :

Azzam seorang mahasiswa Al-Azhar yang juga seorang anak yatim dan seorang abang kepada tiga adik perempuan berusaha untuk menghabiskan pengajian beliau yang sudah masuk tahun keenam di Al-Azhar.

Azzam seorang pelajar yang pintar tetapi oleh kerana rasa bertanggungjawab untuk menyara ibunya di Indonesia dan membiayai persekolahan tiga adik perempuannya setelah ayahnya meninggal dunia memaksa Azzam melengahkan pengajian dengan hanya mengambil sedikit mata pelajaran setiap semester sambil berniaga di Mesir.

Berkat kesabaran dan ketekunan beliau, akhirnya beliau berjaya juga menamatkan pengajian beliau. Dua daripada tiga adik beliau telah berjaya menamatkan pengajian dan mendapat pekerjaan yang selesa.

Adik Azzam mendesak agar beliau segera bernikah tetapi Azzam belum menemui calon yang sesuai dan berasa sedikit tawar hati setelah pinangan beliau tidak diterima oleh bapa saudara Anna Althafunnisa kerana Anna telah pun dipinang oleh sahabat beliau sendiri – Furqan.

Ulasan :

Cerita ini amat sesuai dibaca oleh semua peringkat umur terutama sekali mereka yang memerlukan dorongan motivasi yang tinggi untuk mengharungi cabaran hidup. Kecekalan dan kesabaran Azzam di dalam menghadapi cabaran dan dugaan wajar dicontohi. Semasa membaca buku ini, saya merasa sedikit terganggu pada satu slot ketika Azzam berbual dengan Furqan – Azzam memanggil Furqan dengan ‘Rul’ tetapi sepatutnya Azzam memanggil Furqan sebagai ‘Fur’. Saya kira ini mungkin kesilapan menaip.

Pudarnya Pesona Cleopatra




Tajuk Buku : Pudarnya Pesona Cleopatra
Penulis : Habiburrahman El-Shirazy
Penerbit : Ar-Risalah Product Sdn. Bhd.
Bilangan Mukasurat : 125
ISBN : 983-2672-46-3

Sinopsis :

Novel mini ini mengandungi dua kisah pendek iaitu Pudarnya Pesona Cleopatra dan Setitis Embun Cinta Niyala.

Pudarnya Pesona Cleopatra mengisahkan cerita seorang lelaki yang berkahwin dengan Raihana di atas kehendak ibunya. Beliau bersetuju untuk menikahi Raihana kerana tidak mahu menderhaka kepada ibunya walau pun beliau tidak mencintai Raihana. Lelaki ini begitu terasa terseksa kerana kahwin ‘terpaksa’. Beliau sebenarnya terlalu ingin kepada perempuan Arab yang pada pendapat beliau secantik Cleopatra.

Oleh kerana keinginan tersebut beliau melayani isteri beliau Raihana dengan endah tak endah sahaja meski pun Raihana melayan beliau bagaikan Raja. Namun satu hari ketika tersadar akan kekhilafan beliau apabila mendengar cerita tentang Pak Agung yang beristerikan wanita Amerika dan cerita Pak Qalyubi yang beristerikan wanita Mesir. Ternyata, beliau mengangankan suatu yang hanya indah khabar dari rupa.

Di atas kesedaran itu, beliau ingin memohon maaf kepada isteri beliau – Raihana di atas ketidakadilan beliau selama ini. Namun, semuanya sudah terlambat apabila beliau mendapat tahu bahawa Raihana telah meninggal dunia ketika menanti detik melahirkan anak sulong mereka.

Setitis Embun Cinta Niyala pula menceritakan kisah Niyala seorang gadis yang telah menamatkan pengajian beliau dan bakal dianugerahkan gelaran doktor yang berada di dalam dilema sama ada menerima lamaran Roger atau pun tidak. Menerima lamaran Roger, bagi Niyala hanya menjerumuskan diri beliau ke dalam situasi yang menggerunkan kerana Roger bukanlah seorang lelaki yang baik.

Roger pernah satu ketika dahulu memperkosa sahabat karibnya tetapi tidak mahu bertanggungjawab. Manakala, tidak menerima lamaran Roger bererti ayahnya terpaksa melunaskan hutang yang banyak kepada ayah Roger. Ayah Roger berjanji sekiranya niyala menerima lamaran Roger maka hutang tersebut akan dihapus kira. Sungguh pun Niyala berada di dalam dilema yang agak berat, beliau enggan menceritakan situasi beliau kepada ibu angkatnya – sahabat karib arwah ibunya.

Namun kepada abang angkat beliau - Faiq, Niyala menceritakan masalah beliau sewaktu mereka di dalam perjalanan menjemput ayah dan abang Niyala yang datang bagi menghadiri majlis konvokesyen beliau. Faiq bersetuju untuk membantu Niyala melepaskan diri daripada masalah yang beliau hadapi. Namun, Niyala terkejut apabila Faiq menyatakan ingin memperisterikan beliau.

Ulasan :

Kedua-dua cerita ini mengisahkan dua cerita cinta yang luar biasa dan tidak dijangka. Raihana seorang isteri yang begitu mencintai suaminya walau pun cinta beliau tidak dibalas dan cinta Faiq kepada Niyala yang datang secara tiba-tiba. Jalan cerita ini begitu santai dan memberikan pengakhiran cerita yang begitu meninggalkan kesan kepada pembacanya. Walau pun hanya cerita pendek tetapi mampu memberikan impak kepada pembaca.


Wednesday, 10 September 2008

Ungu Karmila



Tajuk Buku : Ungu Karmila
Penulis : Ramlee Awang murshidPenerbit : Alaf 21 Sdn. Bhd.Bilangan Mukasurat : 511
ISBN : 978-983-124-3497


Sinopsis :

Arif dan Karmila pasangan suami isteri yang berpindah ke rumah baru mereka, Vila Sunyi sebuah banglo di Puncak Rimba, Cameron Highland. Vila Sunyi adalah hadiah Arif buat isterinya Karmila yang sangat dicintai sempena ulang tahun perkahwinan mereka yang pertama. Misteri muncul dan mula berlaku apabila Arif mula menunjukkan sikap yang menakutkan isterinya dan orang gaji mereka - Jainab.

Perlakuan Arif mencurigakan dan memberikan kesedihan kepada Karmila. Satu malapetaka berlaku apabila mayat mereka bertiga ditemui oleh Tok Batin, ketua suku kaum orang Asli yang berhampiran datang ke rumah mereka untuk berdamai dengan Arif kerana perselisihan faham mereka berkenaan dengan spesis bunga liar yang diambil oleh Arif daripada 'kawasan larangan' di dalam hutan yang berdekatan.

Sejak malapetaka tersebut, kejadian demi kejadian misteri berlaku bermula dengan kematian Jikon, seorang pemuda orang Asli, abang kepada Ema yang bekerja sebagai pakar bioteknologi di UPM Serdang berkelulusan sarjana dari UKM. Ema difahamkan oleh ayahnya bahawa Jikon telah mati akibat puaka Vila Sunyi. Namun sebagai seorang yang berpendidikan, Ema tidak mempercayai cerita tersebut dan mengambil langkah membuat penyiasatan sendiri ke atas Vila Sunyi.

Pada masa yang sama juga, Arafat abang kepada Arif mengupah sekumpulan penyiasat untuk pergi ke Vila Sunyi dengan tujuan membuktikan bahawa Arif tidak membunuh Karmila dan Jainab. Apa yang terjadi semasa penyiasatan tersebut amat mendukacitakan dan mengerikan kerana seorang demi seorang daripada mereka mati kecuali Dino yang berjaya melarikan diri ke hutan. Ema yang juga kebetulan berada di dalam Vila Sunyi ketika itu turut menjadi mangsa.

Dr. Ismadi, rakan sekerja Ema mula membuat penyiasatan ke atas kejadian tersebut dan hasil siasatan menunjukkan bahawa misteri Vila Sunyi bukanlah kerana puaka tetapi sebenarnya berpunca daripada Ungu Karmila - bunga kacukan yang dihasilkan oleh Arif.


Ulasan:

Ungu Karmila merupakan sebuah karya RAM yang mempunyai kekuatannya yang tersendiri. Kekuatan novel ini adalah pada pengolahan RAM yang berjaya membuatkan pembaca mempercayai misteri di Vila Sunyi adalah kerana puaka. Namun demikian, kepada pembaca yang suka meneka jawapan kepada 'teka-teki' Ungu Karmila akan dapat juga mengagak jawapan sebenar kepada misteri tersebut. Buku ini menggabungkan unsur tahyul, psikologi dan sains bioteknologi dengan begitu baik sekali. Syabas untuk RAM.



Friday, 5 September 2008

Salju Sakinah



Tajuk Buku : Salju Sakinah
Penulis : Zaid Akhtar
Penerbit : PTS Millennia Sdn. Bhd.Bilangan Mukasurat : 559
ISBN : 978-983-3604-41-8


Sinopsis :

Sajlu Sakinah berkisar tentang kehidupan seorang pelajar Malaysia di Universiti Yarmouk, Irbid, Jordan bernama Sumayyah. Sumayyah adalah seorang pelajar yang pintar dan cemerlang. Kehidupan harian beliau bersama dengan teman serumah beliau - Hakimah dan Fatihah, serta rakan karib beliau - Izzati yang juga menuntut di universiti yang sama begitu bermakna sekali kerana mereka saling menghormati di antara satu sama lain walau pun mereka sering usik-mengusik sesama sendiri.

Begitu juga ketika Sumayyah dilanda kemurungan sejak menerima surat daripada teman lelaki beliau di Mesir yang memutuskan hubungan mereka. Rakan-rakan beliaulah yang membantu menguatkan semangat Sumayyah agar lebih tabah dan sabar di dalam mengharungi ujian tersebut. Sumayyah seorang gadis yang bukan sahaja teguh imannya, pintar di dalam pelajaran tetapi beliau juga aktif dan berketrampilan di dalam arena pengucapan awam.

Beliau pernah digandingkan sebagai panel penceramah di dalam satu majlis ilmu anjuran PERMAYA - persatuan pelajar Malaysia di Jordan bersama-sama dengan Naufal dan Hakimi. Sumayyah agak terkejut bila bersemuka dengan Naufal kerana Naufallah orangnya yang menegur beliau kerana keluar lewat malam beberapa hari sebelum itu. Namun, Sumayyah membalas teguran Naufal dengan menyatakan bahawa beliau mempunyai urusan penting dan tidak dapat dielakkan untuk tidak keluar malam pada malam tersebut. Tambah memalukan lagi apabila Sumayyah tertinggal dompet dan tidak mempunyai wang sesen pun untuk membayar tambang. Nasibnya baik apabila Naufal telah pun membayarkan tambang bas untuk beliau.